Manusia bagaikan pelayar diatas sebuah kapal yang berhenti dipulau bagi mencari bekalan secukupnya untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang menuju ke Pulau Abadi. Janganlah leka berada di atas pulau yang cantik tapi hanya sebentar cuma.

  • Hidup Bagai Kincir Angin

    Jangan hanya menjadi seperti kincir angin yang hanya menunggu angin untuk berfungsi. Tapi jadilah seperti angin yang membawa berita gembira.[...]

  • Beruntunglah Orang Yang Asing

    Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim)[...]

  • Baiti Jannati

    “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum: 21)[...]

  • #

    #

Wednesday, 20 July 2011

Siapa pengganti HAMKA?

Posted by HILMI RAMLI On 03:47 No comments

Pengumuman di corong radio Malaysia awal pagi 24 julai 1981 mengenai pemergiannya menghadap Ilahi disambut dengan cukup pilu oleh seluruh bangsa Melayu-Islam di nusantara Melayu ini. Terasa kosong alam Melayu atas pemergiannya walaupun ada beribu-ribu ulama dan cendekiawan Melayu pada waktu itu yang masih hidup. Namun nama HAMKA sangat besar nilainya dalam dunia ilmu di nusantara Melayu ini.
Setiap kali dia hadir ke pentas ceramah, berpuluh-puluh ribu manusia berhimpun untuk mendengar nasihat dan peringatan yang disampaikannya. Dia menutur katanya dengan bersahaja, lembut dan meresap jauh ke dalam kalbu. Nyata dia sangat memahami jiwa pendengarnya yang gersang dan kekeringan petunjuk.

HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di nusantara Melayu ini. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.

HAMKA mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. HAMKA kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

HAMKA mendalami berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik mengikut sudut pandang Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. HAMKA juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Julai 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik HAMKA sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Kegiatan politik HAMKA bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, HAMKA dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah, beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, HAMKA diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

HAMKA juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

HAMKA pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doktor Kehormat , Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Kehormat , Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

HAMKA telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya dihargai di seluruh nusantara Melayu , termasuk di Malaysia dan Singapura.

Monday, 11 July 2011

Belajar Dari Syaitan

Posted by HILMI RAMLI On 21:46 No comments

Siapa yang tidak kenal dengan syaitan? Dia merupakan musuh ALLAH yang kerjanya ialah untuk merosakkan manusia. Walaupun dia merupakan makhluk yang jahat tetapi ada perkara yang mungkin dapat pelajari daripadanya. Dia akan berusaha hinggalah saat kita menghembuskan nafas terakhir diatas muka bumi. namun begitu tidak bermakna dia bukan musuh kita. Dia tetap merupakan musuh kita yang nyata. Jangan sesekali jadikan ia sebagai rakan baik. Antara perkara yang boleh belajar dari kehidupannya ialah...

Fokus pada tujuan 
Tujuan Syaitan jelas, menggoda manusia untuk mengkhianati Allah SWT dan memasukkan manusia ke dalam neraka sebanyak-banyaknya. Tujuan tersebut sudah tercetus sejak awal penciptaan manusia pertama dan Syaitan juga mendeklarasikan  dirinya untuk menggoda seluruh manusia sepanjang zaman untuk menjadi pengikutnya dan menjerumuskankan ke dalam neraka.

Tidak Kenal Erti Putus Asa & Istiqamah dalam Perjuangan
Jika menghadapi kesulitan dalam mewujudkan tujuan utamanya, Syaitan tidak mengenal kata mundur. Dia akan mencari cara sebanyak mungkin untuk menjatuhkan keteguhan iman manusia yang berada di jalan yang benar. Dia akan menciptakan godaan yang didatangkan dari atas, bawah, kiri, kanan, depan, belakang, atas, bawah, dengan cara paling halus mahupun cara yang paling terang-terangan.

Tekun 
Syaitan menggoda manusia secara berterusan, terus menerus,dan tidak akan berhenti. Syaitan tidak pernah off-track, terus berada dalam jalannya iaitu jalan menuju kesesatan sampai akhirat nanti.

Sekali lagi penulis ingin mengingatkan kepada pembaca , syaitan tetap merupakan musuh kita yang nyata. Jangan sekali-sekali mengikutinya.

Thursday, 26 May 2011

Apa kaitan wanita & litar lumba?

Posted by HILMI RAMLI On 01:13 1 comment

Gambar hiasan: Bila sesuatu itu diletakkan pada tempatnya.
Apakah peranan wanita sexy di litar lumba...??
Adakah mereka diperlukan untuk membaiki kenderaan...ataupun sekurang-kurangnye jadi seorang yang mengisi minyak/bahanapi kenderaan...ataupun seorang membersihkan jalan litar??

Itu semua bukan peranan sebenar wanita ini. Peranan mereka hanya tarikan nafsu lelaki untuk datang menonton perlumbaan di litar. 



Ini adalah konsep ideologi kapitalisme yang meletakkan tahap wanita sebagai simbol sex semata-mata. Mereka diperalatkan untuk mendapatkan untung. Kapitalisme sering mengabaikan wanita.Ideologi kapitalisme serta budaya gaya hidupnya, memandang wanita sepi dan tak guna. 


Inilah cara ideologi kapitalisme memandang wanita diseluruh dunia. Walaupun kononnya ia seolah menyalahkan Islam menganiaya wanita. Tapi sebenarnya mereka telah melakukannya seperti zaman jahiliyyah,iaitu ketika wanita dihinakan sebelum kedatangan seruan Rasulullah SAW....


SEDIH rasanya apabila melihat di dalam akhbar tempatan anak-anak gadis Melayu Islam bergambar di samping pelumba kereta atau pelumba motor di dalam litar lumba dengan pakaian yang menjolok mata.

Wanita dipandang tinggi oleh Islam kerana kejadiannya yang unik, cantik dan berguna untuk membentuk sesebuah masyarakat yang bahagia.

Wanita juga merupakan sayap kiri kepada kaum lelaki kerana mereka tidak akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan kaum wanita yang mungkin bergelar isteri, ibu, nenek, guru, jururawat, doktor, peniaga dan sebagainya.

Sekiranya wanita dalam sesebuah masyarakat dan negara rosak akhlaknya maka generasi di bawah didikannya akan lebih rosak lagi.

Oleh sebab itu, Islam menggariskan bahawa wanita perlu dijaga, dihormati dan ditatang sebaik-baik mungkin kerana sebarang kepincangan kepada wanita akan mengakibatkan kepincangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Sebenarnya, tindakan menggunakan gadis-gadis Melayu Islam untuk menjadi pengiring atau pembawa payung kepada para pelumba di litar lumba jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita yang disamakan seperti pengiring murahan.

Untuk melengkapkan penyertaan mereka di litar lumba, mereka diarahkan untuk memperagakan jenis-jenis pakaian yang menjolok mata yang bertentangan dengan Islam dan budaya Timur.




Sepatutnya pihak pengajur perlu bijak dalam penganjuran acara seperti ini kerana acara tersebut masih boleh berjalan lancar dengan keuntungan yang besar tanpa kehadiran gadis-gadis litar yang berpakaian menyakitkan mata.

Allah telah memuliakan kita dengan akal untuk berfikir. Oleh itu, fikirkanlah.

Friday, 20 May 2011

Dia masih single lagi.....

Posted by HILMI RAMLI On 18:40 No comments

Muda- mudi  pada hari ini belum lagi sedar sepenuhnya tentang tanggungjawab untuk menentukan halatuju negara. Mereka masih lagi "single" dan tidak tahu untuk memilih kepimpinan negara yang baik.

Tambahan lagi, setiap parti politik yang ada di Malaysia sibuk untuk "meminang" @ "memancing" golongan muda ini untuk menyertai agenda pejuangan mereka seperti PAS, UMNO, DAP, PKR dan banyak lagi.


Sebab apa semua parti politik ingin meminang golongan muda yang masih single ini ??


Kunci utama kepada kemenangan ini adalah berpunca daripada sejauh mana PAS dan BN berupaya menarik sokongan pengundi muda kerana pengundi senior telah mempunyai pilihan mereka sendiri.

Jelasnya hal ini disebabkan golongan muda ini masih belum menetapkan sokongan mereka kepada mana-mana parti politik.Mereka ini adalah golongan yang berusia antara 21 hingga 35 tahun dan mereka akan memilih parti yang dirasakan memberi keselesaan dengan faktor perkembangan semasa di sekeliling mereka.

Kunci utama kemenangan PAS adalah berkait rapat dengan keadaan semasa yang mengundang masyarakat menuntut perubahan.Keadaan semasa yang berlaku kini menjadi penyebab kemenangan PAS apabila rakyat bangkit menuntut perubahan atau 'real change' iaitu suatu kredit besar yang memihak kepada PAS.
Mereka kini mendesak agar perubahan harus dilakukan.

Mengenai kecenderungan pengundi muda kepada Pakatan Rakyat kebanyakan mereka berfikiran terbuka dalam hal politik dan perkembangan semasa.Mereka ini sangat sukar untuk dipengaruhi oleh politik lokal malah anak-anak muda kini lebih super lokal yang tidak termakan dengan mainan atau gula-gula politik sesuatu parti.

Senario demikian jelasnya menggambarkan kematangan anak-anak muda ini dalam berpolitik.
Mereka ini tidak lagi berasa janggal dengan subjek politik malah mereka kini telah pandai berpolitik dan perkembangan ini telah menjadi perkara baru.
Walaupun keadaan berpihak kepada PAS,  tapi secara relevannya kedua-dua parti telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pertandingan ini dengan menggunakan pelbagai medium dan mekanisme.

PAS katanya dilihat lebih menggunakan petugas-petugas mereka secara 'all-out' namun BN ternyata lebih hebat kerana melihatkan bukan sahaja daripada kalangan BN bahkan menggunakan kelebiphan sebagai kerajaan pemerintah. BN ternyata lebih hebat apabila menggunakan kesempatan sebagai pemerintah yakni kuasa mereka untuk mempengaruhi pengundi.


Monday, 9 May 2011

Tahniah kerajaan Malaysia!!!

Posted by HILMI RAMLI On 16:37 1 comment


Semalam menyaksikan harga gula meningkat 20sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa 10 Mei.

Penyelarasan subsidi itu akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6 juta.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zain Mohd Dom, kenaikan itu selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi.

"Langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat," kata Mohd Zain

Satu situasi kewangan yang tidak seimbang berlaku pada masa sekarang di mana suara golongan bawahan tidak dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Satu sistem kewangan yang tidak seimbang berlaku apabila berlaku kenaikan gaji penjawat awam yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. Hal ini adalah satu kegembiraan bagi seluruh penjawat awam.Siapa yang tak mahu gaji meningkat.? Aku pun nak jugak?

Sementara itu, akibat daripada kenaikan harga gaji penjawat awam, pasaran tempatan terutama barang keperluan harian mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang keperluan harian seperti beras, gula, tepung, dan lain-lain.

Daripada sudutb lain, pihak ketiga menanggung akibat daripada kenaikan harga gaji dan seterusnya harga barang  keperluan harian. Hal ini amat memberikan kesan kepada golongan yang ketiga ini yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah seperti petani, nelayan, peniaga kecilan. Ditambah pula dengan gaji mereka yang tak menentu dan terpaksa menanggung ahli keluarga yang ramai.Tiba-tiba, barang keperluan menjadi mahal dan gaji mereka tidak menentu.Wang merupakan suatu yang amat penting kepada mereka.

Hal ini merupakan satu kekurangan sewaktu berlaku pilihanraya. Rakyat di luar bandar  yang sudah sekian lama menghadapi kehidupan yang merana dan  kekurangan wang akan memilih parti yang tiba-tiba datang memberikan wang segera dari belakang pada waktu pilihanraya berbanding dengan parti lain. Golongan rakyat luar bandar dengan pandangan jangka pendek tertipu dengan wang segera yang diberikan. Sedangkan parti hanya memancing undi pada ketika itu. Sedangkan parti perlu memberikan bantuan sejak dari dulu lagi bukannya bukan ketika seperti anjing tersepit baru meminta sokongan dengan menabur wang dikampung-kampung.

Inilah situasi kewangan yang tidak stabil yang tidak nampak berlaku di negara kita. Jadi,,,bagaimana cara mengatasinya. Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya membangunkan seluruh kawasan tidak kira kawasan siapa samada kawasan kerajaan dan membangkang membangunkan negara dengan baik....,,

BALDATUN TAYYIBATUN WARABBUN GHAFUR...

Sunday, 8 May 2011

Merisik, Bukan Bertunang ye!!!

Posted by HILMI RAMLI On 04:07 No comments


Dalam mana-mana operasi risikan, perkara yang paling diutamakan adalah;
1. Pengumpulan Maklumat (intelligence)
2. Pengagihan kawasan pemantauan (recon area)
3. Penyusupan (intrusion)
Ketiga-tiga elemen diatas memang telah lama digunakan oleh pemuka-pemuka (agen asing) terutamanya dari pihak agensi risikan dan keselamatan Singapura (dengan bantuan MOSSAD Israel) yang diketahui telah dioperasikan sejak dari tahun 1985 lagi.
Bagi ketiga-tiga elemen ini, ianya amat mudah dilakukan. Apa yang diperlukan adalah sebilangan orang @ aset (pemuda/pemudi) yang telah ditanamkan dengan semangat patriotik sesuatu negara. Mereka ini perlulah mempunyai kepakaran dan ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang pentadbiran, perniagaan, komputer dan kejuruteraan.
Dengan mudahnya pihak yang berkepentingan boleh menyediakan “aset” ini dan kemudiannya diarahkan untuk memasuki beberapa organisasi yang penting seperti syarikat telekomunikasi, perbankan, agensi kerajaan dan sebagainya.
Untuk memudahkan anda memahami operasi risikan ini, kita boleh ambil contoh sebuah negara yang bersempadan dengan Malaysia yang telah lama membuat risikan didalam Malaysia. Negara ini adalah negara Singapura.
Pada tahun 1975, telah wujud satu arahan didalam Kerajaan Singapura untuk mengetahui segala maklumat yang penting mengenai Malaysia supaya mereka boleh bersedia “selangkah awal” berbanding Malaysia. Dengan ujudnya beberapa kepentingan yang perlu bagi Singapura, maka mereka telah menyediakan beberapa pelan untuk melakukan operasi risikan terhadap Malaysia.
Beberapa aset (mole) telah dikenalpasti oleh pihak Singapura lalu mereka menyediakan satu pelan tindakan yang cukup teratur dengan meletakkan beberapa aset utama mereka dibeberapa syarikat utama termasuklah didalam GLC di Malaysia pada awal tahun 1980′an.
Aset-aset utama ini kemudiannya telah melatih beberapa lagi aset tambahan yang kemudiannya diserapkan didalam beberapa agensi Kerajaan. Kebanyakan aset-aset tambahan ini belum lagi diaktifkan sepenuhnya melainkan cuma membuat pengumpulan maklumat dan skop pemantauan.
Walaupun pihak agensi keselamatan tempatan (Malaysian Special Branch) dan Biro Siasatan Negara (BSN) telah berusaha sedaya upaya mereka untuk mengenalpasti dan menahan aset-aset Singapura yang berada didalam pelbagai organisasi didalam Malaysia, namun ianya masih jauh lagi daripada selesai. Malah terdapat pula beberapa halangan dari beberapa pihak yang berkepentingan di Malaysia yang selalu menggagalkan usaha SB dan BSN.
Apa yang pasti, aset-aset asing ini berkemampuan untuk melakukan serangan pemula (PreEmptive Strike) dengan cara memusnahkan kemampuan dalaman negara seperti perkhidmatan utiliti (air/elektrik/telefon), perbankan serta keselamatan. Ini telah pernah dibuktikan dalam beberapa insiden peperangan yang telah berlaku seperti didalam Perang Enam Hari (Israel dan Mesir), Perang Dunia Kedua (Jepun dan British di Malaya) dan sebagainya.
Teknik yang sama juga boleh berlaku di Malaysia jika berlakukan perperangan diantara kedua negara (Singapura dan Malaysia). Setakat kajian yang telah pernah dibuat oleh pihak ketiga, kemampuan Malaysia untuk bertahan daripada serangan Singapura (jika berlakunya perperangan) hanyalah selama 3 hari sahaja. Namun ianya boleh menjadi lebih lama jika Malaysia mampu menggerakkan semua unit sedia ada untuk melakukan serangan balas secara gerila.
Adalah lebih baik sekiranya Malaysia juga telah berjaya melaksanakan ketiga-tiga elemen diatas didalam beberapa negara yang dikenalpasti mampu (sedia) untuk bertelagah dengan Malaysia. Kepentingan meletakkan aset-aset utama dan tambahan didalam mana-mana negara yang boleh mengancam Malaysia adalah paling utama dan perlu dilakukan dengan pantas dan bersepadu.
Semua agensi risikan dan keselamatan tempatan perlulah siap siaga dan melakukan apa yang patut untuk memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terjamin. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang selalu dikunjungi dan dijadikan lokasi pertemuan serta pertukaran maklumat kebanyakan agensi risikan antarabangsa terutamanya MOSSAD, AMAN, ASIO, NSA, CIA, FSB, MI6, MSS, DGSE, IB, BIN, SID, ISD, NIA, GRU dan SVR.

Oleh yang demikian satu pemantauan menyeluruh perlulah senantiasa dilakukan untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan Malaysia menjadi keutamaan. Malaysia pula menyediakan pelan tindakan dan juga menyediakan aset-aset yang boleh diserapkan dan diaturgerak dengan cepat dan tepat. Jabatan Risikan Persekutuan (FID) perlu memanfaatkan aset-aset muda yang patrioktik kepada Malaysia dengan segera.

Wednesday, 27 April 2011

Ku Sangkakan Ayam Berkokok Di Waktu Pagi,,,Rupanya Anjing yang menyalak.......

Posted by HILMI RAMLI On 16:54 No comments

 MPP UKM mengambil perhatian masalah anjing yang menjadi-jadi apabila ramai di kalangan mahasiswi dikejar anjing-anjing liar yang berkeliaran sekitar UKM. Pada 13 April jam 4.00 petang lalu, operasi memerangkap anjing liar di kawasan kolej Burhanuddin Helmi dilakukan. Operasi ini melibatkan Wisma Aman, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan MPP iaitu MPP Fahmi, Ikram dan Ezuan.

Operasi ini adalah tindakan susulan yang diambil oleh Wisma Aman setelah cadangan telah dikemukakan kepada pihak mereka dalam pertemuan antara MPP Fahmi dan Izzuddin bersama Ketua Pejabat Pendaftar Encik Ab Aziz Othman dan wakil Pegawai Keselamatan, Leftenan Saidi. Cadangan yang dikemukakan sebelum ini agar diadakan kerjasama antara MPKJ & Pegawai Keselamatan UKM dalam menangani anjing liar yang berkeliaran di UKM sama ada di kolej kediaman mahupun fakulti.

Dalam operasi ini, satu perangkap anjing diletakkan di belakang blok mahasiswi iaitu blok 10 yang dilaporkan menjadi tempat anjing berteduh dan membiak. Menurut En Mawi wakil dari Majlis Perbandaran Kajang, "Sebelum ini terjumpa anak anjing di kawasan ini (KBH- Blok 10) tapi tak dapat ambil kerana menyorok dalam lubang. Pernah juga memasang perangkap tetapi sangkar perangkap hilang diambil orang oleh kerana perangkap yang dianggap bernilai."

Kata beliau lagi, " Kita akan pasang perangkap di tempat lain, namun buat masa sekarang kita cuba di sini dahulu. Kita tak boleh guna cara bagi makanan beracun untuk dimakan oleh anjing sebab kalau dia mati sukar untuk mencari anjing tersebut, selain tu bau bangkai anjing menganggu ketenteraman awam. Ia luar bidang kuasa kita kalau anjing tu dah mati.
Sewaktu operasi dijalankan, seekor anjing melarikan diri apabila pihak MPKJ & wakil pegawai keselamatan datang untuk memasang perangkap. MPKJ juga tidak melakukan kerja penembakan anjing kerana dibimbangi akan terkena manusia. Sebelum ini, kerja penembakan dijalankan pada waktu cuti semester oleh pihak luar (penembak anjing liar) dengan kerjasama wisma aman kerana bimbang akan terkena mahasiswa jika dibuat dalam waktu belajar.

 Saranan dari pihak MPKJ & Wisma Aman adalah memaklum pada pihak MPKJ & Wisma Aman sekiranya mendapati kawasan yang menjadi tempat tinggal & pembiakan anjing liar. Mereka juga menasihat supaya tidak memberi makanan kepada anjing-anjing ini kerana ia akan menggalakkan anjing tersebut utk cenderung berada di sekitar kawasan sumber makanannya itu. 




BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Thursday, 21 April 2011

Lumrah Masam-Masam Manis, sedangkan lidah pun tergigit..

Posted by HILMI RAMLI On 02:35 No comments

TENSION!!!!!TENSION!!!!!!!!!
Setelah pulang menjawab exam tengah hari tadi, tibanya depan rumah terlihat ramai orang depan rumah jiran. Ada orang mati ke?? Jiran aku buat kenduri ke?? Kenapa tak panggil kami pun?? Aku pun tengah lapar ni!!Rupa-rupanya aku dikejutkan oleh berita bahawa rumah jiran sebelah rumah aku dimasuki penceroboh...

Ini tak boleh jadi ni,,,rumah sebelah dah kena masuk pencuri. Takut pulak dia masuk rumah kami nanti. Tapi kat rumah ramai yang tak ada orang, Tak tahu pegi mana. Aku dan Ameen terpaksalah jadi HERO bidan terjun...Fuhhh,,,takut jugak jadi Hero ni,,,bukan senang...

Menurut tuan rumah,,,pencuri masuk kedalam dan mengunci selak dari dalam. Jadi dia tidak dapat untuk membuka pintu rumahnya. Rumah dia memangggg lawa,,,,lawa sikit daripada rumah kami je. Agak kalut dia tadi. Aku nak tolong, tapi tak tahu nak tolong apa. Polis pun datang tadi. Tapi pencuri sempat untuk melarikan diri. Tuan rumah mengucapkan terima kasih kepada kami kerana tolong "tengok" keadaan tanpa berbuat apa2. Ini ungkapan yang cukup bermakna dari jiran kepada jirannya.

Malaysia sekarang sudah tidak selamat lagi. Inilah guna jiran disekeliling untuk saling membantu. Tapi curi ini banyak maksudnya. Kadang2 kita tak sedar kita pun sebenarnya menjadi pencuri secara kecil-kecilan. Menggunakan barang2 persatuan @ pertubuhan @ organisasi untuk kepentingan perseorangan atau peribadi adalah sesuatu yang tidak profesional. Sedangkan harta itu adalah milik persatuan dan kita dengan sewenangnya menggunakan dengan suka hati. Adakah dengan jawatan itu telah memudahkan kita ke neraka.

Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz memerintah, ketika anaknya masuk ke biliknya untuk berbincang dengan tentang hal keluarga. Khalifah dengan segera memadam memadamkan cahaya. Biliknya menjadi gelap kerana dia tahu harta yang digunakan itu bukan hartanya tapi harta kerajaan. Itulah didikan disiplin yang tinggi.

Dan apa kaitannya dengan kita?? Kita perlu menjaga perkara ini yang sering kali kita pandang ringan.(Nasihat untuk diri sendiri jugak). Hal ini sangat penting dalam kita menjaga nilai keberkatan hidup dan melambangkan nilai kepimpinan organisasi kita. Walaupun orang tak nampak, tapi di akhirat kelak every single cent will be evaluated.....

Ya ALLAH ampunkanlah dosa kami,
dosa yang kami sedar @ tidak sedar,
dosa yang kami sengaja & tidak sengajakan.
Ameen.

(*pesanan untuk diri sendiri & kawan)

Sunday, 17 April 2011

Kau dan aku dipisahkan hanya beberapa centimeter.......Eratnya hubungan kita..

Posted by HILMI RAMLI On 08:06 1 comment

Tiba-tiba pintu rumah aku diketuk,,,,dengan suara yang agak keras. Wah takut aku untuk membuka pintu....Nampak macam nak bergaduh je.

" Dik siapa bakar sampah tepi kereta saya tadi? Adik tahu tak kereta saya habis berhabuk kena asap yang adik bakar tadi?" kata jiran yang belum dkenali dengan suara keras....
"Siapa yang nak basuh kereta yang kotor tu? Saya nak kereta bersih lepas ni. tak ada habuk lagi. Kalau nak buang sampah tak payah bakar, just letak plastik hitam, nanti ada bandaran yang akan ambil." sambung dia lagi menambah minyak petrol dalam api kemarahan yang makin marak..

Fuhh,,berpeluh aku menjawabnya!!Muka merah dan pipi tiba-tiba jadi tebal.....oklah,, Petang ni kitaorang basuh balik kereta abang sebelah tu. Kereta dia boleh jugak lawanya. Betul jugak, Siapa yang tak marah kereta lawa-lawa tetiba jadi kotor. Kalau aku pun, panas jugak.

Pada petang itu, setelah usai basuh kereta. Tiba-tiba abang tu panggil minum kat rumah dia. Ehh,,pelik,,,ingatkan nak marah,,,,rupa-rupanya dia ajak minum petang kat rumah dia. Kami pun layan je. Rupa-rupannya jiran kami seorang yang baik. Dia peminat kereta kancil rupanya. Patutla kereta dia lawa.

Mungkin ada hikmah bakar sampah ni. Kalau tak bakar sampah abang tu tak marah. Dan jikalau abang tu tak marah maka kami tak kenal dia. Dan kalau tak kenal dia  kami maka kami tak kenal siapa jiran di sekeliling kami...

Kita tinggal kawasan perumahan Bandar hanya dipisahkan oleh dinding yang hanya beberapa sentimeter dan kita tak saling mengenali antara satu sama lain. Dah la dekat gila tapi tak kenal. Tak macam kampung aku,,,semua aku kenal...kira macam tu la ceritanya. Itulah nilai yang kurang dibandar berbanding kampung...

Maka, Hormatilah jiran disekeliling anda.Kalau berada dikolej pun sama. Kawan sebelah bilik pun tak kenal. So, macam mana ? Kita dipisahkan hanya beberapa sentimeter.

Thursday, 14 April 2011

Teori "Gelanggang Tinju" & "OVERKILLED"

Posted by HILMI RAMLI On 11:31 No comments

Politik hari ini menyaksikan budaya menjatuhkan orang lain semata-mata untuk menaikkan diri dan parti. Hal ini berlaku di Malaysia dengan tersebarnya video seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Benarkah apabila kita masuk ke dalam kancah politik sama seperti masuk ke gelanggang tinju. Yang mana setiap peninju matlamatnya adalah untuk menjatuhkan lawan masing-masing. Dan bagaimana pula jika kita tidak bersetuju dengan peraturan gelanggang tinju itu, kita duduk diam sahaja dengan membiarkan diri kita dipukul dan akhirnya kita jatuh dengan undang-undang yang tidak adil itu..Apakah reaksi anda apabila menjadi peninju yang membiarkan dirinya dipukul dan tidak mempertahankan dirinya??

Teori "overkilled" pulla saya kaitkan dengan Anwar Ibrahim apabila setengah pihak yang menyerang beliau dari segala sudut seperti peribadinya menyebabkan sokongannya meningkat.Hal ini amat pelik apabila tuduhan buruk yang dilemparkan dengan tujuan untuk menjatuhkan mangsa bertukar menjadi kekuatan pada dirinya dan seterusnya meningkatkan sokongan. Hasil daripada simpati rakyat meningkatkan sokongan pada mangsa.Watak yang ingin dibunuh,,tiba-tiba hidup segar semula hasil daripada simpati rakyat. Pistol yang digunakan untuk menembak mangsa, akhirnya tertembak diri sendiri. Perancangan ini telah memakan diri sendiri.

Tuesday, 12 April 2011

Dia pergi dulu sebelumku......

Posted by HILMI RAMLI On 18:51 No comments

Pada pagi ini, aku mendapat dua berita kematian salah seorang sahabat aku sewaktu zaman sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Besar. Tak sangka rupanya dia pergi lebih awal dari aku dalam usia muda sama seperti aku jugak. Salah seorang lagi, kaum kerabat aku kat kampung,,x payah bgtau pun xpe,,korang x kenal pun,,,,just sedekahkan Al-Fatihah kepadanya pun sudah cukup jika tidak megenalinya.

Nama dia Saiful..oopps tercerita plak,,,dia ketua kelas aku masa sekolah rendah dan merupakan kawan baik aku dulu...Aku selalu "pow" (bahasa asrama iaitu ambil) makanan dia dulu sewaktu sekolah KAFA. Boleh kata tiap-tiap hari la aku "pow" dia. Ini kerana aku selalu tak ada duit, jadi dia dengan baik hati pun bagi kat aku sikit. Terharu aku hingga kesaat sekarang aku menulis. Jasanya itu aku x dapat bayar lagi. Semoga jasanya itu ALLAH ganti dengan Syurga, insyaALLAH.


Aku pun suka studi dengan dia kat Masjid Bukit Besar dulu. Masjid merupakan "port" aku dan kawan2 melepak setelah balik dari sekolah. Memang dah jadi rutin. Dulu, kami berlumba-lumba menyiapkan kerja sekolah. Siapa yang siap dulu dialah pemenang dan aku selalu kalah Tapi sekarang tidak lagi nak berlumba menyiapkan kerja. Aku kat UKM dah jadi terbalik. Assignment hampir dengan tarikh hantar baru nak siap, x mcm dulu rajin giler,,ceehh. Memang semua kawan2 aku mantap2. Ada yang keluar negara dan banyak lagi.

Setelah "bergraduasi" dari sekolah rendah, aku pun jarang bertemu dengan dia. Ada la kadang2 tu. Disebabkan sekolah menengah yang tidak sama. Masing2 buat kerja masing2.Terpisah oleh faktor masa.. Ada banyak lagi nak cerita, tapi cukuplah setakat ni je.

Takziah kepada Pak Cik Wahab dan sekeluarga. Semoga kita sama-sama tabah menghadapi pemergian insan yang baik.

Marilah kita mengankat tangan tinggi dengan bisikan doa yang tulus padanya yang Qudus:
Ya ALLAH...
Rahmatilah dan kurniakanlah keampunanMU serta RedhaMU Yang Maha Luas buat MuhammaD SaiFul Bin Abdul Wahab.
Amin.

Saturday, 9 April 2011

Korang semua kena Berak Atas Hidung???

Posted by HILMI RAMLI On 10:54 No comments

Apabila seekor burung yang kecil terbang dan hinggap dibatang hidung patung seorang pemimpin yang hebat. Walaupun semasa hayat hidup seorang pemimpin itu sangat hebat dan dibina sebuah patung untuk menghargai jasanya. Patung itu tidak mampu untuk berbuat apa-apa

Dan datang seekor burung yang kecil bertenggek dibatang hidungnya dan berak diatas hidungnya.Dan patung itu sekali-kali tidak boleh berbuat apa-apa kepada burung tersebut walaupun burung itu kecil dan dia semasa hayatnya seorang yang hebat dan berpengaruh.

Kehebatannya semasa dahulu adalah satu ilusi , walaupun dia seorang yang mulia, dia telah dihina oleh burung yang kecil yang telah berak diatas batang hidungnya. Burung yang berak diatas batang hidungnya, itulah realiti yang sebenar berlaku. Kehebatannya dahulu adalah ilusi dan memang benarlah yang REALITI itu mengatasi ILUSI.

Dan jika lihat Yahudi sekarang adalah adalah yahudi yang REALITI yang diceritakan dalam AL-Quran . Dan benarlah apa yang diberitakan oleh AL-Quran. Yahudi sekarang adalah yahudi yang realiti dan bukan ilusi.Dan jika lihat sekarang yahudi dengan realitinya menyerang umat Islam di Palestin. Dan mereka benar-benar Yahudi yang realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
 
Dan dimana persoalan umat Islam sekarang yang realiti. Umat Islam yang ada pada hari ini bukanlah umat Islam yang realiti. Umat Islam hanya ada pada kuantiti dan bukan pada kuanlitinya. Dimana kita wahai umat Islam.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.



daripada Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.