Manusia bagaikan pelayar diatas sebuah kapal yang berhenti dipulau bagi mencari bekalan secukupnya untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang menuju ke Pulau Abadi. Janganlah leka berada di atas pulau yang cantik tapi hanya sebentar cuma.

Wednesday 20 July 2011

Lagenda Singapura: Lee Kuan Yew

Posted by HILMI RAMLI On 18:28 No comments

Lee Kuan Yew melawat kerajaan Kelantan??
Tegas, lantang dan tidak mudah mengalah. Demikianlah sifat yang sesuai untuk memerihalkan peribadi seorang yang bernama Lee Kuan Yew atau lebih dikenali sebagai Harry Lee dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai. Selang seminggu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Singapura 2011, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong yang masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Mentor dan Menteri Kanan Singapura telah melepaskan jawatan mereka dalam kabinet. Pengunduran kedua-dua veteran Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu membuka peluang kepada generasi baharu untuk menerajui tampuk kepimpinan republik pulau itu. Keputusan Lee Kuan Yew mengundurkan diri dari kabinet yang dipimpin anaknya, Lee Hsien Loong telah menamatkan era penglibatannya dalam politik Singapura selama 52 tahun.

Kuan Yew merupakan legenda Singapura yang layak digelar Bapa Pengasas Singapura. Beliau telah memimpin negara tersebut dalam tiga zaman iaitu semasa Singapura masih di bawah koloni British (1959 – 1963), era Malaysia (1963 – 1965) dan era Singapura berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat (1965 – 1990). Dari tahun 1990 sehingga 2004 Kuan Yew masih kekal dalam Kabinet Singapura dengan portfolio Menteri Kanan sebelum bertukar portfolio sebagai mentor pada tahun 2004 selepas Goh Chok Tong bersara sebagai perdana menteri. Tempoh 52 tahun berkecimpung dalam persada siasah Singapura telah mendedahkan Kuan Yew kepada pelbagai pengalaman yang bercampur baur antara pahit dan manis.

Walaupun Kuan Yew sememangnya sudah boleh dikatakan menikmati kehidupan selesa sebagai seorang peguam muda yang memiliki firmanya sendiri namun, wawasannya cukup jauh, iaitu ingin melihat Singapura menjadi sebuah negara yang merdeka daripada cengkaman British. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1954 Kuan Yew dan rakan-rakannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial telah menubuhkan Parti Tindakan Rakyat  atau PETIR. PETIR merupakan platform terbaik untuk Kuan Yew memperjuangkan kemerdekaan Singapura. Oleh yang demikian Kuan Yew telah mempersiapkan PETIR bagi menyertai pilihan raya umum Majlis Undangan Singapura pada tahun 1955. Dalam pilihan raya tersebut PETIR hanya memenangi tiga kerusi berbanding 13 kerusi  yang dimenangi Parti Barisan Pekerja pimpinan David Marshall. Perjuangan PETIR ketika itu adalah ideologi sosialis yang menjadi pegangan Kuan Yew sejak beliau sedang menuntut ilmu undang-undang  di London.

Dalam PRU Singapura tahun 1959  PETIR memperoleh kemenangan yang besar dan sekali gus berjaya membentuk kerajaan yang baharu serta memperoleh status pemerintahan sendiri daripada British. Kejayaan memperoleh mandat untuk memerintah Singapura itu digunakan Kuan Yew untuk menggerakkan usaha ke arah penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu yang terlebih dahulu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Idea penggabungan kedua-dua wilayah itu tidak kesampaian apabila ditolak oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, idea ini benar-benar terlaksana pada tahun 1963 apabila negara Malaysia ditubuhkan. Penggabungan Singapura dalam Malaysia hanya bertahan selama setahun dan 11 bulan apabila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada bulan Ogos 1965.

Umum mengetahui apabila terdapat individu atau tokoh politik daripada parti pembangkang  yang menyelar atau mengeluarkan kenyataan berbau kecaman terhadap Kuan Yew, nescaya akan menerima padah dikenakan tindakan saman malu yang nilainya jutaan Dolar Singapura. Terdapat dalam kalangan musuh politik Kuan Yew yang menerima tindakan sedemikian diisytiharkan muflis dan tidak layak bertanding pilihan raya seperti yang dihadapi oleh Dr Chee Soon Juan pemimpin Parti Demokratik Singapura (SDP).

Meritokrasi merupakan perkara yang sinonim dengan Lee Kuan Yew. Acap kali beliau menyuarakan pandangannya yang optimis bahawa hanya mereka yang cemerlang dan cekap sahaja layak untuk diketengahkan sebagai pemimpin. Dalam sistem yang diamalkan oleh PAP, Kuan Yew telah menggariskan calon pilihan raya yang akan mewakili parti berkenaan dalam pilihan raya umum disyaratkan penerima ijazah kelas pertama. Pada masa yang sama beliau juga komited dengan pelaksanaan mekanisme pembayaran gaji anggota kabinet, ahli parlimen, dan penjawat awam Singapura yang kadarnya menghampiri nilai yang diperoleh oleh pekerja  sektor swasta. Matlamat dasar tersebut adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara sektor awam dan swasta serta bagi mengelakkan gejala rasuah berleluasa dalam sistem pemerintahan negara.

Harry Lee tidak mengalami sebarang kerugian apabila beliau berundur dari kabinet Singapura. Penat lelah beliau yang telah berperanan sebagai “arkitek” Singapura bakal diabadikan dalam lipatan sejarah. Suara generasi muda Singapura yang ingin perubahan corak pemerintahan negara bukanlah bermakna mereka ibarat kacang lupakan kulit terhadap jasa yang telah ditaburkan oleh Kuan Yew. Namun, hal ini merupakan manifestasi mereka yang tulus ingin melihat Singapura terus bergerak dinamis dan sentiasa relevan dalam arena global.

0 comments:

Post a Comment