Manusia bagaikan pelayar diatas sebuah kapal yang berhenti dipulau bagi mencari bekalan secukupnya untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang menuju ke Pulau Abadi. Janganlah leka berada di atas pulau yang cantik tapi hanya sebentar cuma.

Wednesday 10 August 2011

34 Tahun Menerjang Badai, ISIUKM Komited Mendukung Islam

Posted by HILMI RAMLI On 03:07 No comments

Tanggal 9 Ogos 2011, Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) telah genap bertapak di bumi UKM selama 34 tahun. Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan Sekalian Alam yang telah memberi kekuatan buat badan dakwah induk ini untuk terus menerajui mahasiswa yang cintakan Islam di UKM dan menjadi platform utama kepada mahasiswa Islam untuk bergerak menegakkan syiar agama yang dicintai selama 34 tahun.

34 tahun ISIUKM bertapak di bumi ilmu UKM, bukan sedikit ranjau dan duri yang diterjang bagi memastikan badan dakwah ini terus bernyawa dan subur menapak dalam kalangan mahasiswa UKM. 

Dengan misi mahu menjadikan Islam sebagai ad-deen atau cara hidup di bumi UKM, ISIUKM bertekad akan terus komited membawa suara Islam dan menjadi saluran utama buat mahasiswa Islam menggembleng tenaga ke arah mencapai cita-cita tersebut.

Sejarah 34 tahun bertapak di UKM, menjadikan ISIUKM membesar dan matang setelah mengalami beberapa kali jatuh bangun dan turut berperanan dalam mencorak warna sejarah kebangkitan mahasiswa era 70-an sehingga kini. 

Ikatan Studi Islam UKM ditubuhkan pada 9  Ogos 1977 oleh sekumpulan mahasiswa UKM yang datang dari pelbagai fakulti pengajian UKM. Bermula dari saat itu, ISIUKM sudah tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha mencorakkan mahasiswa dan mengembangkan pengaruhnya sehingga wujudnya branch ISIUKM di setiap kolej kediaman yang dikenali sebagai myISIUKM.

Kejayaan dan kejatuhan silih berganti, pengalaman manis dan pahit sepanjang tempoh 34 tahun telah menjadikan ISIUKM terus kuat dan komited terhadap cita-cita yang dibawa selama ini.

Sejarah ISIUKM pasti tidak akan lupa, bagaimana badan dakwah ini pernah difitnah oleh sesetengah individu sehingga namanya meniti di peringkat antarabangsa. Malah ISIUKM turut pernah berdepan dengan ancaman pengharaman oleh pihak pentadbiran akibat kepentingan sesetengah pihak, namun kebijaksanaan kepimpinan ISIUKM dalam mendepani segala ranjau ini telah menyebabkan persatuan Islam ini terus bertahan di perbukitan ilmu sehingga ke hari ini. 

ISIUKM telah berdiri di atas 3 pasak utama iaitu tarbiyyah, dakwah dan siyasah. Asas-asas ini tidak pernah diabaikan oleh generasi demi generasi kepimpinan ISIUKM bermula tahun 1977 sehingga kini. Setiap program yang dirancang dan dilaksanakan oleh ISIUKM pasti akan merangkumi 3 asas utama ini sebagai tanda aras keberjayaan sesuatu pogram.

Dalam hal tarbiyyah, selama 34 tahun ISIUKM terus komited menjadikan asas ini sebagai tunjang utama melalui kegiatan usrah secara konsistn di setiap peringlat sama ada kolej atau fakulti. Program usrah yang diatur melalui badan dakwah ini telah disistemkan dengan sebuah sistem usrah yang lengkap serta merangkumi silibus yang mencakupi seluruh aspek kehidupan sebagai seorang mahasiswa Islam.

Begitu juga dalam pelaksanaan asas dakwah, ISIUKM tidak pernah lupa menjadikan dakwah sebagai target utama dalam setiap program yang dijalankan. Sejarah 34 tahun ISIUKM bertapak di bumi UKM, dakwah ISIUKM telah sampai sehingga ke bumi Sabah dan Sarawak malah turut menembusi sehingga ke bumi Kemboja.

Kerjasama dan jaringan yang baik dengan badan-badan dakwah yang lain telah menjadikan ISIUKM terus belajar untuk survival pada masa akan datang dan meningkatkan keberkesanan dakwah ISIUKM dalam kalangan mayarakat kampus.

Dalam hal siyasah, sejarah membuktikan ISIUKM adalah antara kilang penghasilan pemimpin yang begitu ramai tidak kira dalam kalangan mahasiswa ataupun pimpinan masyarakat pada masa kini. Justeru, ISIUKM terus berazam untuk menerapkan professionalisme dalam setiap gerak kerja dan urus tadbir yang dibuat dan menjadi medan latihan terbaik buat setiap ahli ISIUKM melatihkan sifat kepimpinan mereka dalam segenap segi.

Kini, 2011 menyaksikan ISIUKM terus berkembang dalam pelbagai segi termasuklah jumlah keahlian, pelaksanaan program dan pelbagai lagi. Kami di peringkat kepimpinan Ikatan Studi Islam UKM mngucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga kampus yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap badan dakwah ini sepanajang keberadaannya di bumi UKM.

Kami sekali lagi bertekad, akan terus komited mendukung Islam sebagai wadah perjuangan ISIUKM di perbukitan ilmu ini. Sokongan dan bantuan dari seluruh warga kampus UKM adalah amat-amat diharapkan untuk kami terus mengorak langkah mencorakkan mahasiswa UKM ke arah eperti yang tercatat dalam lembaran visi dan misi kami.

"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah" 

Muhammad Hafizan bin Abdul Hamid
Presiden
Ikatan Studi Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

0 comments:

Post a Comment